Oleh Dato Haron Din
BERTITIK tolak daripada menghina dan mempersenda-sendakan hukum Allah, itu adalah suatu kesalahan yang besar, menyamai kesalahan syirik dan kufur kepada Allah.Ini kerana hukuman kedua-duanya sama sahaja iaitu ke neraka jahanam akhirnya. Maka wajarlah orang yang melakukan kesalahan itu, segera rujuk untuk kembali kepada Allah dan memohon keampunan Allah dengan hati yang ikhlas untuk mendapat reda- Nya dan kembali kepada-Nya.
Ayat yang anda sebut dalam soalan di atas, jika dirujuk semula, makna sebenarnya seperti berikut: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Sambungan ayat itu bermaksud begini: “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (maksud surah an- Nisa’, ayat 18)
Mafhum daripada kedua-dua ayat di atas, kita boleh perincikan ada tiga kategori azab dan tiga kategori taubat.
Pertama, taubat yang pada zahirnya diterima Allah dan yakinlah bahawa Allah akan menerima taubat tersebut. Iaitu taubat orang yang melakukan dosa, yang tidak disengajakan akibat kejahilan, tidak menyedarinya suatu kesalahan, lalu apabila ia sedar, ia terus bertaubat nasuha kepada Allah dan itulah yang Allah sebutkan dalam ayat 17 Surah an-Nisa di atas, Allah menerima taubatnya.
Kategori kedua, taubat yang diserahkan kepada Allah sama ada Dia menerima atau menolaknya. Kita cuma mengharapkan Allah menerimanya. Inilah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): “Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampuradukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudahmudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (maksud surah au-Taubah, ayat 102)
Taubat orang hina hukum Allah
Ini bererti bahawa dalam kategori ini, harapan untuk diterima taubat masih ada dan ia terserah kepada Allah untuk menerimanya.
Kategori yang ketiga adalah taubat yang tidak diterima Allah (taubat yang sia-sia). Inilah yang disebut dalam Surah an-Nisa ayat 18 di atas. Ayat ini Allah tujukan kepada golongan yang taubat mereka tidak diterima. Walau apa pun hendaklah kita berbaik sangka kepada Allah kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.
Pohonlah keampunan kepada Allah seperti dalam firman-Nya (mafhumnya): “Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal salih).” (Surah al-Hijr, ayat 49)
Dalam hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari mafhumnya: “Rasulullah s.a.w. menceritakan, perihal seorang insan daripada kalangan Bani Israil yang pernah berdosa dengan membunuh 99 nyawa, lalu hendak bertaubat kepada Allah SWT dengan bertanya cerdik pandai pada zamannya, bagaimana caranya beliau boleh bertaubat untuk diterima Allah SWT.
“Dia dianjurkan untuk menemui seorang rahib. Lalu rahib itu berkata kepadanya, “Sudah tertutup jalan (pintu) taubat buat kamu, kamu tidak perlu lagi bertaubat kerana Allah tidak mahu menerima taubat kamu.”
“Lalu dengan perasaan yang amat marah, lelaki itu terus membunuh rahib itu, dengan menggenapkan orang ke-100 yang dibunuhnya.
“Dia mencari lagi orang yang boleh menunjukkan jalan untuk dia bertaubat. Lalu dia menemui seorang alim lagi abid. Orang itu menunjuk jalan kepadanya dengan mengatakan, “Tinggalkanlah daerah ini dan pergilah ke suatu tempat yang dihalalkannya. Di sana kamu akan menemui insan-insan salih, di bumi salih yang akan memandu kamu ke arah taubat dan Allah akan menerima taubat.
“Pembunuh itu terus menuju ke arah yang ditunjukkan orang alim tersebut, lalu di pertengahan jalan, dia menemui ajalnya.
Bagaimanapun berlaku pertelagahan antara malaikan azab dan malaikat rahmah. Hendak dibawa ke manakah roh si pembunuh ini.
“Malaikat rahmah mahu membawa ke rahmah Allah kerana dia nyata hendak bertaubat, sedangkan malaikat azab mahu membawanya ke azab Allah kerana dia tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan, malah sudah membunuh 100 orang.
“Dalam keadaan demikian, datanglah penyelesaian, maka datanglah malaikat ketiga yang menganjurkan kepada kedua-dua malaikat yang bertelagah dengan mengukur jalan, dari tempat asal yang penuh dengan kesesatan, ke arah jalan yang benar-benar dia hendak bertaubat. Mana yang lebih hampir.
“Apabila diukur maka didapati dia sudah benar-benar hampir ke tempat untuk dia bertaubat bersungguh-sungguh, maka dia dihukum sudah bertaubat, lalu rohnya dibawa ke rahmat Allah SWT.”
Maka renung-renunglah wahai saudaraku. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment