Sunday, May 8, 2011

Kolan Air Panas La (La Hot Spring) Hulu Besut


La Hot Spring adalah merupakan tempat yang cantik dan sesuai untuk berehat bersama-sama keluarga di hujung minggu.  Terletak dalam Daerah Besut, kira-kira 28km dari Pekan Jerteh dan 155km dari Bandaraya Kuala Terengganu.  Ia juga merupakan pintu masuk kepada hutan simpanan Gunung Tebu.




 Inilah bentuk pemandangan di kawasan kolam air panas, dikelilingi oleh pohon-pohon yang menghijau.  Bersebelahan kolam air panas, mengalir sebatang sungai dengan air yang jenih dan sejuk.  Sesiapa yang berkunjung ke La Hot Spring bolehlah memilih antara air panas atau sejuk.


Aku selalu juga datang ke La Hot Spring untuk berehat dan mencari kedamaian.  Setiap kali ke sini, aku ditemani oleh isteri ku serta rakan-rakan yang lain.  Disini kami mengadakan aktiviti perkhemahan.  Ini adalah pemandangan di kolam yang pertama, airnya lebih panas dari kolam yang kedua.  Aku dan isteri ku ingin menguji ketahanan diri, ia itu berapa lama kami dapat bertahan berendam di kolam yang pertama ini.


Tidak ketinggalan juga rakan ku dan isterinya ini, Faisal dan Na, ingin mencoba, tujuannya adalah untuk mencari pengalaman.  Itulah hidup.  Dari cerita pengunjung yang datang ke sini, berendam dalam kolam air panas ini dapat menyembuhkan beberapa jenis penyakit dengan izin Allah.  Ramai juga pesakit datang untuk terapi di La Hot Spring ini.  Sempat juga aku berbual-bual dengan mereka, untuk mengetahui akan kebenaran cerita-cerita yang ku dengar ini.  Jawapan yang ku terima adalah positif.  Alhamdulillah, tanda syukur kepada Allah di atas limpah kurniaNya yang tak terhingga ini. Tidak lupa juga selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Mohammad saw serta ahli keluarga baginda.  




Ini adalah jambatan yang menghubungkan kawasan penginapan dengan kolam air panas.  Lihatlah betapa jenih air yang mengalir di sungai yang bersebelahan dengan kolam tersebut.  Airnya yang cetek dengan pasir yang memutih memang sesuai untuk anak-anak kecil.  Ini adalah kawasan yang tidak berbatu.








Ini pula merupakan padangan kolam air panas yang kedua.  Airnya tidaklah sepanas kolam yang pertama.  Kolam ini terletak di sebelah bawah kolam yang pertama.




 Ini  adalah di antara pemandangan yang kita dapat lihat di persekitaran La Hot Spring.  Air sungai yang mengalir di celah-celah batu telah membentuk kolam-kolam kecil, sesuai untuk mandi manda.  Bagi mereka yang berminat dengan aktiviti memacing, bolehlah mencuba nasib.   




Ini pula merupakan pemandangan air terjun dari kolam air panas yang kedua.  Airnya  mengalir kesungai.  Suhunya adalah suam.  Ianya sangat sesuai untuk  kanak kecil.  Betapa indahnya alam ciptaan Allah ini, andai kita semua mahu berfikir.  Aku merasakan diri ku ini terlalu kerdil bila berdepan dengan ke agongan dan Kebesaran Allah ini.  





Kehijauan yang terdapat di sekeliling kawasan ini akan dapat menenangkan kita.  Tambahan pula diiringi oleh kicauan burung-burung yang menjadi penghuni setia kawasan perkelahan ini yang sentiasa menghiburkan.  





Lihatlah betapa indahnya pohon-pohon hutan yang tumbuh menjulang langit.  Betapa indahnya ciptaan Illahi, semuanya adalah untuk dinikmati manusia.  Inilah diantara nikmat Allah buat kita hambaNya.  Berdetak dihati ku di waktu aku sedang menikmati keindahan ini....Apakah aku ini sudah termasuk dalam golongan yang mensyukuri akan nikmat Allah?