By Ustaz Zainudin Hashim
Allah SWT telah mengingatkan kepada kita tentang kecenderungan manusia kepada kejahatan menerusi ayat 7-8 surah as-Syams bermaksud : Dan jiwa (hati manusia) serta kesempurnaan penciptaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan.
Jelas dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa hati manusia terlebih dahulu cenderung kepada perkara yang jahat dan kemudian baru menoleh kepada yang baik (takwa), setelah mengharungi dan tenggelam dalam perkara yang boleh menjatuhkan manusia pada kancah kehinaan, tetapi dia boleh dianggap bernasib baik kerana beralih kepada yang baik, berbanding dengan mereka yang terus berada dalam maksiat dengan menentang Allah SWT dalam pelbagai bentuk dan sifatnya.
Benarlah, bahawa fenomena keruntuhan iman apabila tidak dibaja dan dipelihara setiap hari dengan ilmu, pembacaan al-Quran, zikir atau wirid, ia akan mendatangkan masalah kepada orang tertentu, kerana iman boleh turun dan boleh naik, masyarakat umat Islam hari lebih cenderung melihat iman mereka turun dan merundum jatuh bagaikan pasaran saham di papan utama Bursa Malaysia.
Penganjuran sambutan malam tahun baru yang diadakan saban tahun dan tidak terkecuali pada malam 31 Disember 2011 di ambang 1 Januari 2012 detik 12 malam menyaksikan kedangkalan para pemimpin negara yang sama-sama menyertai konsert hiburan dengan menampilkan para artis di beberapa lokasi seperti seperti Dataran Merdeka, Putrajaya dan lain-lain meninggalkan kesan yang tidak baik terutama di kalangan anak-anak muda yang sepatutnya dibimbing dengan amalan beribadat kepada Allah SWT.
Inilah yang pernah disuarakan oleh mantan Yang DiPertua YADIM, Prof Emiritus Dr. Nik Safiah Karim yang disokong pula oleh Prof Emiritus Dr. Khoo Kay Kim yang menegaskan bahawa sebagai warga timur apatah lagi yang beragama Islam, kita tidak perlu kepada budaya yang diperkenalkan barat terutama dalam menyambut tahun baru masihi, kerana pengalaman yang pernah kita saksikan pada setiap malam tahun baru adalah perkara-perkara sumbang yang melibatkan anak muda mudi kita, sepatutnya suara-suara cendekiawan seumpama mereka didengar dan diambil kira oleh pihak pemerintah bagi menyelamatkan akidah ummah.
Justeru, para alim ulama’ telah membahaskan isu berkenaan menerusi forum agama dalam laman web islamonline.net, islam-qa.com, islamweb.net dan pelbagai yang lain, ia bertujuan untuk menyelamatkan umat Islam dari menjadi mangsa keruntuhan iman yang semakin meruncing, mereka telah membahagikan perbincangan keruntuhan iman itu kepada tiga bahagian :
Pertama - Fenomena keruntuhan iman.
Kedua - Faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan iman.
Ketiga - Penyelesaian kepada keruntuhan iman.
Fenomena keruntuhan iman.
1- Kekal dalam melakukan maksiat kepada Allah, walaupun ia dianggap kecil.
2- Tidak memelihara diri dari melakukan ketaatan kepada Allah.
3- Hati tidak terkesan atau berbekas dengan ayat-ayat al-Quran.
4- Tidak merasakan hati menjadi keras apabila terjebak dalam perkara yang menentang Allah.
5- Lalai dari berzikir atau mengingati Allah kerana tenggelam dalam hiburan yang mengasyikkan.
6- Tidak memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melakukan amal-amal ibadat.
7- Tidak bersikap lapang dada.
8- Bersikap kedekut atau bakhil.
9- Tidak suka bersahabat dengan mereka yang boleh membimbing ke jalan kebenaran.
10- Tiada perasaan marah dalam hati apabila melihat perkara keji dan mungkar berlaku di hadapan mata tanpa diubah kepada kebaikan.
11- Suka, cenderung dan gila kepada kemasyhuran, jawatan dan pengaruh walaupun tidak berkelayakan.
12- Suka duduk bersembang dengan membuang masa pada perkara yang tidak sedikitpun menguntungkan agama, negara, keluarga dan masyarakat.
13- Bercakap pada perkara yang tidak boleh dilakukannya, kerana ada sifat berpura-pura dalam diri.
14- Tidak mengambil berat/tahu mengenai urusan orang Islam dengan tidak merasa duka cita apabila mereka ditimpa sesuatu musibah dan tidak merasa gembira apabila mereka mendapat kebaikan.
15- Terlibat dalam perkara syubhat (samar mengenai halal dan haramnya) dan perkara yang membawa kepada dosa.
16- Tidak mempedulikan perkara yang baik-baik (yang diberi pahala) walaupun ia kecil pada pandangan manusia.
17- Tidak menjaga keutuhan perpaduan sesama muslim, sedangkan ia adalah tuntutan agama.
18- Tidak ada perasaan tanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam sesuatu urusan pekerjaan yang boleh menguntungkan agama.
19- Rasa takut, terkejut dan menggelabah apabila berlaku sesuatu bencana.
20- Banyak terlibat dalam pertikaian dan suka berbantah-bantahan pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk semua.
21- Hati terpaut pada dunia dan segala yang melalaikan.
Tetapi, apakah yang sebenarnya berlaku hingga umat Islam tidak menyedari terlibat secara langsung atau tidak langsung, apakah faktor yang menjadikan mereka tidak peka pada persoalan yang dikemukakan di atas.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan iman.
1- Jauh dari ikatan iman yang berpanjangan.
2- Jauh dari ikutan contoh teladan yang baik-baik.
3- Tidak ikut serta dan berada dalam kelas-kelas pengajian agama, kelas al-Quran, hadis, sirah, program motivasi dan lain-lain yang boleh mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kepada Allah.
4- Berlaku maksiat di tengah-tengah masyarakat yang tidak diubah dengan perkara makruf.
5- Sibuk dengan urusan keluarga dengan mencari keredaan isteri, anak-anak dan harta-benda hingga tidak sanggup berkorban untuk agama.
6- Panjang cita-cita terhadap perkara dunia dan lupa jalan ke akhirat.
7- Boros dalam perkara makan-minum, tidur yang berlebihan, berjaga malam bukan untuk beribadat, bersembang pada perkara yang sia-sia dan bergaulk secara bebas antara lelaki dan perempuan.
Penyelesaian kepada keruntuhan iman.
1- Meneliti dengan mendalam dan terperinci isi-isi kandungan al-Quran secara serius.
2- Merasakan keagungan Allah selaku Pencipta dalam menghayati dan mengenali nama-nama dan sifat-sifat,Nya.
3- Menuntut ilmu Syariat, Usuluddin secara bersungguh-sungguh.
4- Banyak melakukan perkara yang baik-baik dan mengisi waktu untuk tujuan itu, walaupun ia dianggap kecil menurut pandangan manusia.
5- Berterusan dalam melakukan amal-amal yang baik, walaupun ia sedikit.
6- Menyesali diri kerana kurang melakukan perkara baik dan bercita-cita untuk melakukannya pada masa akan datang.
7- Sentiasa mengharapkan rahmat Allah, optimis bahawa setiap amalan yang telah dilakukannya diterima di sisi-Nya dan takut ia ditolak dan dianggap sebagai amal yang sia-sia.
8- Mempelbagai dan memperbanyakkan amalan selain solat, puasa, haji dan lain-lain yang boleh menambahkan iman dan takwa kepada Allah SWT.
9- Berwaspada dengan amalan songsang yang tidak memungkinkan mati dalam Islam.
10- Memperbanyakkan penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran yang bersangkutan dengan ciptaan-ciptaan Allah seperti langit, bumi, manusia, malam, siang dan lain-lain.
11- Bermunajat kepada Allah dengan segala rendah diri, mengurangkan cita-cita, tidak terpedaya dengan janji dan habuan dunia yang melalaikan, mengagungkan kebesaran Allah pada setiap bahan ciptaan-Nya.
Tingkatan pembahagian iman
*Iman yang tetap ialah iman para malaikat kerana mereka tiada disertakan dengan nafsu.
*Iman yang turun naik ialah iman manusia biasa yang mudah terdorong oleh hawa nafsu.
*Iman yang sentiasa naik ialah iman para nabi iaitu manusia pilihan yang di tarbiah oleh Allah secara langsung.
Iman kita juga boleh diperbaharui dari masa ke semasa. Jika iman menjadi "baru" nescaya kita akan menjaganya sebaik mungkin dan meletakkannya di tempat yang paling istimewa.